DYAM Raja Dihilir Perak Berkenan Menziarahi Program Pemuliharaan Dan Pusat Penerangan Penyu Segari.
MANJUNG, 15 Julai 2023 – DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah berkenan menyempurnakan Lawatan ke Program Pusat Pemuliharaan dan Penerangan Penyu Segari di sini.
Ketibaan DYAM disambut oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi Zainuddin (Bersara), Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pegawai Kewangan Negeri Mohd Zaki Mahyudin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Dato’ Mohd Zolkafly Harun.
Selepas sesi bergambar bersama tetamu kenamaan, DYAM telah diberi taklimat mengenai spesies dan statistik penyu di Perak oleh Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan) Dato’ Azahari Othman.
Selepas itu, DYAM dibawa ke kolam penyu sisik, kolam penyu hijau, tapak semaian penyu dan galeri pameran statik untuk sesi lawatan.

DYAM Raja Dihilir Perak Berkenan Menziarahi Program Pemuliharaan Dan Pusat Penerangan Penyu Segari.
Sebelum mengakhiri lawatan, DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah mengambil kesempatan melakukan pemeriksaan sarang penyu, penanaman pokok Ambung-Ambung dan pelepasan penyu.
Pusat Pemuliharaan dan Penerangan Penyu Segari merupakan salah satu tarikan pelancong di Perak.
Pusat yang terletak berhampiran pantai Pasir Panjang itu menjadi lokasi strategik penyu bertelur, selain menjadi destinasi pelancong untuk meningkatkan pengetahuan mengenai proses pemeliharaan dan pemuliharaan penyu.
Artikel : DYAM Raja Dihilir Perak Berkenan Menziarahi Program Pemuliharaan Dan Pusat Penerangan Penyu Segari.