DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat Sempena Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak 2025.
IPOH, 25 July 2025 – DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat Sempena Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025, yang diadakan di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini.
Hadir sama pada majlis tersebut YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini, Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPK); YBhg. Dato’ Harith Fadzilah bin Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk); serta Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Majlis yang dihadiri lebih 1,000 jemaah itu dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil, diikuti dengan Khutbah Jumaat bertajuk ‘Menghargai Bakti Wira Bangsa – Wira Negara’, yang disampaikan oleh Inspektor Adib bin Azimat dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Usai khutbah, jemaah menunaikan solat Jumaat yang diimamkan oleh AF Ustaz Syed Mohd Muzaffar bin Syed Azlan, Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah.
Sambutan Hari Pahlawan yang diraikan setiap 31 Julai bertujuan untuk menghargai pengorbanan dan jasa anggota pasukan pertahanan serta keselamatan yang telah mempertaruhkan nyawa mereka demi memastikan kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat terjamin.