Majlis Perasmian Taman Negeri AKEKCHEP, Sg Tiang, Royal Belum

Majlis Perasmian AKEKCHEP, Sg Tiang, Taman Negeri Royal Belum telah disempurnakan oleh DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Simbolik kepada perasmian adalah tandatangan oleh DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan Raja Iskandar Dzulkarnain pada papan tanda pemasyuran AKEKCHEP, diiringi oleh penyerahan dokumen Pelan Tindakan AKEKCHEP dan laporan akhir projek oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Koperasi Orang Asli Sg Tiang (KOAST) dan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) masing-masing.

Taman Negeri Royal Belum

Majlis turut disaksikan oleh Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Pegawai Daerah Hulu Perak, Pengarah Perikanan Negeri Perak, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak, Pemangku Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Hulu Perak, Koperasi Orang Asli Sg Tiang dan Tenaga Nasional Berhad.

Sempena majlis ini, Jabatan Perikanan Negeri Perak turut menyumbangkan 60 ekor anak ikan temoleh dan 40 ekor anak ikan kelah bagi dilepaskan di AKEKCHEP. Diharapkan anak-anak ikan ini akan membesar dan berkembang biak di Sg Tiang ini.